Tak Sempat Bolos Ke Negara Jiran, Warga Asing Diberkas Bersama Syabu

Tak Sempat Bolos Ke Negara Jiran, Warga Asing Diberkas Bersama Syabu

0
SHARE

TAWAU: Cubaan seorang lelaki bersama dua wanita memboloskan diri ke negara jiran gagal selepas mereka dikesan menjadi perantaraan menyeludup dadah ke negara jiran di sekitar kawasan jeti awam Sungai Tongkang, Bergosong, Pulau Sebatik pada Khamis lalu (4 April).

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sedang membuat risikan dan pemerhatian atas maklumat dadah.

“Semasa pemerhatian dilakukan, pihak polis ternampak suspek seorang lelaki bersama dua wanita telah masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis 4×4 yang sedang parkir di kawasan letak kereta di kawasan tersebut.

“Pihak polis seterusnya menahan ketiga-tiga suspek terbabit selepas memperkenalkan diri ketika kesemua suspek berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya di IPD Tawau pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, pihak polis telah menemui empat paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 201.58 gram dengan anggaran nilai berjumlah RM12,094.80 disimpan di dalam tempat letak tangan (Arm Rest) di dalam kenderaan tersebut.

Tambah Jasmin, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala, kedua-dua suspek wanita itu negatif dadah.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh memperuntukkan hukuman mati mandatori,” jelasnya.

Tegas beliau lagi, pihak polis memandang serius berkaitan jenayah dadah di daerah ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut prosedur undang-undang sedia ada.