KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah jangkitan harian di Sabah kembali berada di bawah paras angka 200 hari ini dengan 167 kes baharu. Ianya merupakan penurunan 67 kes berbanding jumlah semalam.
Menurut jurucakap perkembangan harian kes COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, secara keseluruhannya, terdapat tanda penstabilan di kebanyakan daerah dengan kadar kes harian yang lebih rendah dan terkawal.
“Kecuali beberapa daerah ‘tidak menentu’ seperti Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran yang sukar diramal, turun-naik kes harian di daerah lain kini agak mudah diramal kerana sudah berada di tahap yang dianggap stabil,” katanya dalam rumusan harian.
Daerah yang mencatatkan jumlah jangkitan baharu yang tertinggi di Sabah hari ini ialah Kota Kinabalu dengan 26 kes, 32 kes lebih rendah daripada sebelumnya. Ini diikuti oleh Papar dengan 21 kes (+3), Penampang 17 kes (-1) dan Tuaran 14 kes (-2).
“Seperti yang telah dinyatakan lebih awal, Kota Kinabalu antara daerah yang sukar untuk meramal pergerakan serta perubahan jumlah kes harian…
“Kes harian boleh bertukar secara mendadak. Ini mungkin kerana Kota Kinabalu merupakan ibu negeri yang pesat dengan penduduk serta pusat utama aktiviti ekonomi di Sabah,” tambah Masidi.
Menurutnya, daerah yang berada jauh daripada pusat bandar dengan jumlah penduduk yang kecil secara konsisten mencatatkan jumlah kes harian yang jauh lebih rendah setiap hari kadang-kadang tanpa mencatat sebarang kes baharu.
Dalam pada itu, peratusan jangkitan sporadik juga turun dibawah paras 50 peratus hari ini dengan 43.71 peratus (43.71%).
“Peratusan yang lebih rendah bermakna risiko jangkitan juga akan berkurangan dan jumlah jangkitan baharu akan menurun…
“Tahap pematuhan yang tinggi keatas semua SOP merupakan faktor utama kepada jumlah jangkitan harian yang lebih rendah,” beliau berkata.
Masidi berharap masyarakat Sabah akan terus mengamalkan disiplin yang tinggi tehadap prosedur operasi standard (SOP) walaupun negara kini berada dalam fasa peralihan ke fasa endemik.
“Kunci kejayaan kita menjadikan Sabah antara negeri yang mencatatkan kes harian yang terendah sejak kebelakangan ini ialah tahap pematuhan SOP yang tinggi dikalangan rakyat negeri,” katanya.
Hanya seorang (1) pesakit baharu berada dalam Kategori 3 dan empat (4) orang masing-masing dalam Kategori 4 dan Kategori 5.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (03 April 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu – 26 (58)
Papar – 21 (18)
Penampang – 17 (18)
Tuaran – 14 (16)
Tambunan – 12 (1)
Sandakan – 12 (22)
Putatan – 10 (10)
Kota Marudu – 8 (6)
Ranau – 7 (5)
Sipitang – 7 (6)
Nabawan – 5 (0)
Tawau – 5 (11)
Tenom – 4 (2)
Beluran – 3 (0)
Keningau – 3 (9)
Beaufort – 3 (18)
Lahad Datu – 2 (3)
Kudat – 2 (6)
Kota Belud – 2 (4)
Semporna – 1 (1)
Kinabatangan – 1 (1)
Pitas – 1 (6)
Tongod – 1 (0)
Kuala Penyu – 0 (7)
Telupid – 0 (1)
Kunak – 0 (4)
Kalabakan – 0 (1)





