Jawatan Setiausaha Politik Amanah, Bukan Platform Peribadi – Hajiji

Jawatan Setiausaha Politik Amanah, Bukan Platform Peribadi – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan jawatan setiausaha politik bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya amanah penting bagi membantu menteri dan kerajaan menyebarluaskan dasar serta hala tuju pentadbiran negeri kepada rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Setiausaha Politik di Menara Kinabalu, di sini, hari ini, sambil mengingatkan semua yang dilantik supaya menjalankan tugas dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Menurut Hajiji, peranan setiausaha politik amat penting dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan termasuk Hala Tuju Tujuh Kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang yang dikenali sebagai Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, selaras dengan kesinambungan agenda pembangunan negeri.

“Saya mahu setiausaha-setiausaha politik ini membantu menteri dan kerajaan menjelaskan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat di kawasan masing-masing atau di bawah kementerian,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada setiausaha politik menyalahgunakan kedudukan untuk mempengaruhi menteri demi kepentingan peribadi atau memberi pandangan negatif yang menjejaskan pentadbiran.

Hajiji berkata antara cabaran utama kerajaan ketika ini ialah memastikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif dan bantuan sampai ke peringkat akar umbi, memandangkan masih ramai rakyat tidak mengetahui program yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau memberi contoh bantuan besar kerajaan dalam bidang pendidikan termasuk peruntukan berbilion ringgit, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), biasiswa, bantuan tunai pelajar, subsidi tambang pulang ke kampung, pendidikan percuma serta bantuan kepada belia dan usahawan muda yang masih kurang difahami rakyat.

“Banyak program telah kita laksanakan sepanjang lima tahun ini, tetapi tidak sampai ke bawah. Di sinilah peranan setiausaha politik untuk membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat,” katanya.

Ketua Menteri turut menekankan pendekatan keadilan dan keterangkuman kerajaan negeri yang membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik, termasuk pertimbangan membantu wakil rakyat pembangkang dari segi keperluan pentadbiran.

Hajiji sekali lagi menggesa semua setiausaha politik bekerja sebagai satu pasukan bersama menteri dan kerajaan, mengutamakan khidmat kepada rakyat serta memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan Sabah.