Bahan Cold-Mix Dicadang Dalam Semakan Perjanjian Konsesi, Tingkat Keberkesanan Tampalan Jalan Berlubang...

Bahan Cold-Mix Dicadang Dalam Semakan Perjanjian Konsesi, Tingkat Keberkesanan Tampalan Jalan Berlubang – Joachim

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah mencadangkan penggunaan bahan ‘cold-mix’ dalam semakan perjanjian konsesi penyenggaraan jalan sebagai langkah meningkatkan keberkesanan kerja tampalan lubang, khususnya ketika musim hujan dan keadaan bekalan bahan ‘hot-mix’ terhad.

Menterinya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, cadangan itu dibuat susulan ujian lapangan yang menunjukkan bahan ‘cold-mix’ lebih sesuai digunakan dalam keadaan cuaca tidak menentu serta mampu mempercepat pelaksanaan kerja pembaikan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri itu, kaedah tampalan sedia ada masih bergantung kepada bahan ‘hot-mix’ yang memerlukan suhu tinggi dan tidak sesuai dilaksanakan ketika hujan, sekali gus menjejaskan keberkesanan penyenggaraan rutin.

“Penggunaan ‘cold-mix’ membolehkan kerja tampalan diteruskan walaupun semasa musim hujan atau apabila bekalan ‘hot-mix’ tidak diperoleh, termasuk ketika musim perayaan apabila kilang pembekal tidak beroperasi,” katanya ketika ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Rabu.

Joachim menjelaskan, kerja tampalan lubang hanya berkesan sekiranya kerosakan jalan terhad kepada lapisan turapan premix, khususnya bagi jalan dalam kategori baik (tahap 2) dan sederhana (tahap 3) berdasarkan skala kerosakan jalan.

Bagaimanapun, bagi jalan yang telah dikategorikan sebagai teruk (tahap 4) dan amat teruk (tahap 5), tampalan lubang tidak akan bertahan lama kerana struktur jalan telah rosak melebihi lapisan turapan.

Walaupun menyedari kekangan itu, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah tetap mengarahkan kerja tampalan dilaksanakan bagi jalan kategori tahap 4 dan 5 sebagai langkah sementara untuk mengelakkan lubang menjadi lebih besar serta mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.

Selain penggunaan bahan ‘cold-mix’, JKR Sabah juga sedang menjalankan kajian penggunaan bahan baharu seperti Fiber Mixed Asphalt (FMA) bagi memperkukuh lapisan turapan supaya lebih tahan lama terhadap peningkatan bebanan kenderaan.

“Sekiranya kajian ini berjaya, penggunaan bahan FMA akan diperluaskan bagi kerja penurapan semula dan pembaikan jalan raya utama di seluruh Sabah sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah jalan berlubang,” katanya.