Empat Cedera Mitsubishi Xpander Bertembung Bezza di Jalan Lintas Kepayan

Empat Cedera Mitsubishi Xpander Bertembung Bezza di Jalan Lintas Kepayan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Empat individu cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Lintas Kampung Kepayan, berhampiran Lintas Platinum Hotel, Putatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.43 tengah malam itu, kemalangan melibatkan sebuah Mitsubishi Xpander dan Perodua Bezza yang bertembung sebelum kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 dan mengerahkan sebuah jentera FRT bersama enam anggota ke lokasi kejadian, tiba pada jam 12.52 tengah malam.

Komander Operasi, PBK I Norazrin Suhairi berkata, terdapat empat mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan, dengan seorang mangsa mengalami kecederaan parah manakala selebihnya cedera ringan.

“Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa terlibat ialah pemandu Mitsubishi Xpander berusia 59 tahun yang dilaporkan selamat, manakala penumpangnya, wanita berusia 57 tahun, mengalami kecederaan ringan.

Pemandu Perodua Bezza berusia 23 tahun pula dilaporkan cedera parah, sementara penumpangnya lelaki berusia 24 tahun, warganegara Indonesia, mengalami kecederaan ringan.

Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM. Setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.05 pagi.