KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang gagal menunjukkan prestasi kewangan selama lima tahun berturut-turut akan dikaji semula dan berdepan kemungkinan arahan penutupan, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, mana-mana GLC yang gagal mencatat keuntungan dalam tempoh tersebut akan dinilai oleh Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS).
“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC berkenaan tidak menunjukkan sebarang prospek pemulihan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen dan sumbangan GLC serta badan berkanun di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji menegaskan setiap badan berkanun dan GLC diwajibkan mematuhi kadar pembayaran dividen minimum sedia ada iaitu 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai, selain menunjukkan disiplin kewangan dan komitmen tinggi terhadap tanggungjawab korporat.
“Bermula tahun hadapan, saya juga mahu melihat peningkatan tahap sumbangan tahunan daripada GLC, antara sekitar RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada keupayaan dan prestasi syarikat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan melaksanakan rombakan pengerusi serta ahli lembaga pengarah GLC bagi memperkukuh tadbir urus korporat, kebertanggungjawaban dan menyuntik kepimpinan baharu yang lebih berkesan.
“Kerajaan menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu dilakukan bagi memastikan transformasi yang mampan dan selari dengan matlamat Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Menurut Hajiji, bermula tahun hadapan semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar GLC serta badan berkanun diwajibkan mengemukakan laporan prestasi bertulis suku tahunan terus kepada beliau.
“Laporan itu mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta tahap kecekapan operasi. Kegagalan mengemukakan laporan atau mencapai KPI boleh menyebabkan kedudukan disemak, termasuk diganti atau ditamatkan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata prestasi keseluruhan GLC ketika ini masih pada tahap sederhana, dengan jumlah dividen dan sumbangan kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM125.3 juta, berbanding paras tertinggi RM156.31 juta yang direkodkan pada 2022.
“Walaupun sumbangan ini masih positif, potensi sebenar agensi milik kerajaan adalah jauh lebih besar dan perlu dimaksimumkan,” katanya sambil menekankan keperluan integriti kewangan, tadbir urus telus dan kebertanggungjawaban tinggi.
Hajiji turut menggesa GLC meneroka bidang strategik baharu seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan teknologi data, selain menyambut baik saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya setiap agensi melantik Pegawai Integriti Bertauliah atau menubuhkan Unit Integriti.
Pada majlis itu, Ketua Menteri menerima replika cek dividen dan sumbangan daripada pelbagai GLC dan badan berkanun negeri berjumlah RM131.6 juta, dengan SMJ Energy Sdn Bhd muncul sebagai penyumbang terbesar membabitkan dividen RM50 juta serta sumbangan RM1 juta kepada Jawatankuasa Bencana Alam Negeri.






