Bayar Balik Segera: BNM

Bayar Balik Segera: BNM

0
SHARE
Bnm
Foto suspek tangkapan membabitkan sindiket pengeluaran akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta

KUALA LUMPUR – Semua pemegang akaun yang terjejas dalam kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap membabitkan kerugian berjumlah RM24.2 juta perlu mendapat bayaran balik dengan segera.

Memetik sumber Bernama, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataannya memandang serius semua laporan berkaitan pengeluaran wang tunai tidak sah secara besar-besaran yang membabitkan pekerja institusi kewangan dan pihak luar.

“Integriti individu yang bekerja dengan institusi kewangan adalah perkara yang amat penting,” kata BNM berhubung perkembangan kes berkenaan, kelmarin.

Setakat kelmarin, polis sudah menahan 14 individu termasuk empat kakitangan bank bagi membantu siasatan kes itu.

Polis menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor selepas mangsa menyedari pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Menjelaskan selanjutnya, BNM turut menegaskan bahawa semua institusi kewangan perlu melaksanakan kawalan yang kukuh untuk melindungi dana pelanggan serta integriti sistem kewangan.

“Ini termasuk sebagai contoh, keperluan untuk institusi kewangan menguatkuasakan kod etika yang kukuh.

“Institusi kewangan juga perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan saringan terhadap bakal pekerja sebelum menerima mereka untuk berkhidmat,” katanya.

Malah, BNM berkata individu yang mempunyai rekod kesalahan serta tidak jujur adalah dilarang daripada berkhidmat dengan mana-mana institusi kewangan.

Bank pusat itu turut mengingatkan mana-mana institusi yang terbabit dalam siasatan berkaitan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan bertindak mengambil tindakan tatatertib yang tegas berdasarkan hasil siasatan dalaman.

“BNM juga menasihatkan pengguna untuk segera melaporkan sebarang transaksi tidak sah atau mencurigakan kepada bank masing-masing atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sebaik menyedari kejadian itu selain laporan kepada pihak polis,” katanya.