KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Law Society (SLS) memfailkan prosiding undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu terhadap Kerajaan Malaysia bagi mempertahankan jaminan perlindungan perlembagaan yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SLS berkata tindakan itu bertujuan memastikan sebarang usaha mengisytiharkan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai teks berautoriti dibuat dengan mematuhi sepenuhnya kehendak perlembagaan.
Ini termasuk keperluan melalui proses pindaan menurut Perkara 159, mendapat persetujuan Sabah dan Sarawak seperti diperuntukkan dalam Perkara 161E(2), serta memelihara klausa keluhuran Perlembagaan menerusi Perkara 4(1).
SLS menegaskan tindakan ini tidak bermaksud menentang kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub jelas dalam Perkara 152.
Sebaliknya, ia memberi penekanan kepada keperluan memastikan ketepatan proses perlembagaan serta menyelesaikan terlebih dahulu sebarang percanggahan yang wujud antara teks bahasa Inggeris dan teks Bahasa Malaysia sebelum sebarang pengisytiharan dibuat.
Langkah ini diambil susulan satu kes berasingan difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang memohon deklarasi bahawa teks Bahasa Malaysia sudah pun menjadi teks berautoriti.
SLS menyatakan kebimbangan bahawa jika proses yang betul diabaikan, ia boleh mengubah tafsiran undang-undang berkaitan agama, bahasa serta hak-hak pribumi di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjejaskan perlindungan yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
Contoh jelas ketidaksepadanan tersebut adalah dalam Perkara 12(4), di mana versi bahasa Inggeris memperuntukkan persetujuan kedua-dua ibu bapa berhubung agama anak bawah umur, manakala versi Bahasa Malaysia menggunakan frasa yang boleh ditafsirkan hanya memerlukan persetujuan salah seorang ibu bapa. Perbezaan seperti ini, menurut SLS, boleh memberi kesan besar kepada hak rakyat sekiranya teks Bahasa Malaysia diangkat sebagai teks berautoriti tanpa penyelarasan yang teliti.
SLS menegaskan tindakan ini sama sekali tidak ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak bertujuan mempertikaikan kuasa budi bicara Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 160B. Sebaliknya ia bagi memastikan baginda tidak diletakkan dalam situasi di mana sesuatu perisytiharan kelak boleh dicabar sebagai tidak berperlembagaan.
Kes ini, kata SLS, adalah untuk menegakkan keluhuran Perlembagaan, memastikan proses pindaan yang betul dihormati serta memelihara jaminan khas kepada Sabah dan Sarawak seperti dipersetujui di bawah MA63.
Dengan itu, tindakan ini dilihat bagi melindungi, bukan mengurangkan, kedudukan dan martabat Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
SLS menyatakan pihaknya menyokong usaha penyelarasan kedua-dua versi perlembagaan, namun ia perlu dilakukan secara telus, mengenal pasti semua perbezaan penting, memaklumkan Parlimen dan rakyat, serta meminda Perlembagaan mengikut prosedur sewajarnya termasuk mendapatkan persetujuan Sabah dan Sarawak apabila perlu.
Pasukan perundangan SLS dalam kes ini diketuai oleh bekas presiden Datuk Roger Chin.
Tindakan difailkan atas kepentingan awam kerana keputusan mahkamah dijangka memberi kesan berkekalan terhadap tafsiran perlembagaan di seluruh negara, kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan, serta prinsip kedaulatan undang-undang.






