KOTA BELUD, SABAH – Seramai 32 ketua cawangan UMNO Tempasuk merayu kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak meletakkan calon ‘orang luar’ untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Tempasuk pada Pilihan Raya Negeri Sabah 29 November ini.
Jurucakap kumpulan itu, Azizul Durajib yang juga Ketua Cawangan Taun Gusi Batu 4, menegaskan majoriti kepimpinan UMNO di Tempasuk mahu calon dipilih daripada ahli tempatan UMNO Kota Belud.
“Ramai ahli UMNO tempatan yang berwibawa dan layak diketengahkan, jadi tidak perlu ‘mengimport’ calon luar untuk bertanding di Tempasuk,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurutnya, surat bantahan menolak calon luar dari Kota Belud yang ditandatangani semua 32 ketua cawangan telah dihantar kepada Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), melalui Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Azizul berharap rayuan itu dipertimbangkan demi kepentingan parti.






