150 Asnaf Zon Sepanggar, KK Terima Bantuan MUIS

150 Asnaf Zon Sepanggar, KK Terima Bantuan MUIS

0
SHARE
Muis
Golongan asnaf zon Sepanggar dan Kota Kinabalu merakamkan gambar kenangan bersama para petugas PZS MUIS ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 150 asnaf zon Sepanggar dan Kota Kinabalu menerima bantuan menerusi Program ‘Back To School’ anjuran Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Penolong Setiausaha (Pembangunan Asnaf) MUIS, Saludan @ Suzika Suhul berkata, program tahunan kelolaan Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS itu diadakan bertujuan bagi meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak golongan asnaf yang bakal memulakan sesi persekolahan bermula 11 Mac nanti.

“Program ini kita bahagikan kepada tujuh zon dan setiap zon seramai 250 asnaf diperuntukkan dengan setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM300 berupa kelengkapan persekolahan,” katanya ketika ditemui di salah sebuah pasaraya, di Likas pada Rabu.

Tambah Suzika, setakat ini pihaknya telah melaksanakan program tersebut bermula dari zon Kudat, Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu.

Selepas ini katanya, program seumpama akan diadakan di zon Beaufort dan zon Lahad Datu yang dijangka pada 10 Mac ini.

Sementara itu, salah seorang ibu penerima, Muridah Amir, 43, ketika ditemui menyatakan rasa syukur terhadap bantuan yang diterima daripada MUIS.

Beliau yang juga ibu tunggal berpendapat bahawa bantuan yang diterima ini mampu meringankan beban kewangan beliau dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anaknya Anidah Ali Shah, 13 yang juga pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) untuk melangkah ke sekolah menengah pada pembukaan sesi persekolahan nanti.

Turut gembira dengan bantuan yang diterima adalah seorang pelajar SMK Pulau Gaya Nursyaminah Abdullah, 14.

Beliau yang bakal melangkah ke tingkatan dua pada sesi persekolahan akan datang memuji usaha pihak MUIS melalui PZS dalam menyalurkan hasil kutipan zakat kepada golongan yang memerlukan.

Menurut Nursyaminah, usaha ini amat bertepatan dan berharap agar program tersebut dapat diluaskan kepada golongan asnaf yang lain pada masa akan datang. — JABATAN PENERANGAN SABAH