KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah terus kekal menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.
Dalam satu kenyataan rasmi malam ini, parti tersebut berkata mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah kepada mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-16) yang lepas akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.
“UMNO Sabah menjunjung kasih di atas titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara supaya semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang…
![](https://sabahnews.com.my/wp-content/uploads/2020/10/agong-2020.jpg)
“Seperti termaktub di bawah Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepimpinan serta ahli UMNO Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada Raja-Raja Melayu dan berikrar untuk terus mendukung dan memayungi Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri-Negeri…
“UMNO Sabah berdoa dan berharap agar kemelut politik di Semenanjung Malaysia dapat diselesaikan secara berhemah, harmoni dan bijaksana demi kemaslahatan negara dan rakyat,” menurut kenyataan itu.
UMNO Sabah yang menyifatkan mereka sebagai “adik bongsu” berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa jua keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah.
“Oleh itu, kami berharap pendirian ini dihormati oleh semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat dan negeri Sabah tercinta,” tambah kenyataan itu lagi.