Disyaki Tidak Berkata Benar, Perdana Menteri Belanda Dikecam Ahli Parlimen

Disyaki Tidak Berkata Benar, Perdana Menteri Belanda Dikecam Ahli Parlimen

0
SHARE

AMSTERDAM, BELANDA – Tidak berkata benar semasa perbincangan bagi membentuk Kerajaan punca kepada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berdepan tamparan hebat apabila Parlimen meluluskan usul menolak pembentukan Kerajaan baharu di negara itu.

Walau bagaimanapun, beliau bernasib baik setelah Ahli Parlimen GAGAL meluluskan undi tidak percaya bagi memaksa Rutte meletakkan jawatan.

“Parlimen menyampaikan mesej yang jelas dan saya akan lakukan yang terbaik bagi meraih semula keyakinan…

“Ini adalah perkara serius dan saya memohon maaf,” kata Rutte kepada pemberita.

Usul penolakan itu menyatakan Rutte tidak mengatakan perkara yang sebenar.

Memetik laporan BH Online, Rutte memenangi pilihan raya Parlimen pada 17 Mac lalu yang dilihat sebagai referendum mengenai caranya menangani krisis pandemik COVID-19.

Pemimpin parti kedua terbesar di Parlimen, Sigrid Kaag, berkata beliau tidak pasti sama ada bersedia untuk menyertai pembentukan kerajaan baharu bersama Rutte.

“Jika saya menjadi beliau, saya tidak akan meneruskannya,” katanya ketika ditanya mengenai jawatan Rutte.

Krisis itu berlaku apabila Rutte mengakui secara peribadi membincangkan tugas apa yang harus diberikan kepada Ahli Parlimen yang mengkritik Kabinetnya.

Bagaimanapun Rutte menafikannya sebelum ini.

“Satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan di sini adalah mengatakan dari lubuk hati saya, apa yang berlaku, apa yang salah, bahawa saya tidak pernah berbohong,” katanya.