KOTA KINABALU, SABAH – Sabah merekodkan 320,000 orang atau 18.7 peratus penduduk yang telah mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat semalam.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah, Muhammad Amri Idris berkata, pihak DOSM kini dalam usaha meningkatkan lagi pendaftaran sistem PADU bagi memastikan rakyat tidak tercicir dalam menerima bantuan kerajaan.
“Masih terdapat beberapa isu yang dihadapi dalam pengisian sistem PADU antaranya isu pengesahan identiti melalui e-KYC, isu pengisian melibatkan warga emas dan masalah capaian internet.
“Bagi sesiapa yang menghadapi isu-isu ini boleh datang ke kaunter yang disediakan untuk mendapatkan bantuan selanjutnya.
“Selain penyediaan kaunter-kaunter yang sudah dilaksanakan sebelum ini, DOSM juga bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pejabat Ahli-ahli Parlimen, ketua-ketua komuniti dan pembanci pertanian.
“DOSM turut menggerakkan Flying Squad bagi membantu melancarkan pendaftaran PADU khasnya di kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Forum PADU : Ke Arah Kelestarian, Kesejahteraan dan Kemajuan Rakyat di Universiti Malaysia Sabah, pada Rabu.
Amri berkata, forum berkenaan memberi manfaat dalam menerangkan fungsi sistem PADU dan bagaimana sistem tersebut dapat diterjemahkan semula kembali kepada rakyat.
“Program dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini penting dalam usaha menyebarluaskan tentang keperluan untuk mengisi PADU khasnya kepada rakyat di negeri ini.
“Saya nasihatkan penduduk Sabah untuk mengisi sistem PADU secepat mungkin bagi mengelakkan masalah seperti kesesakan capaian dan sebagainya,” tambahnya.
Sesi forum berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa bersama tiga panel jemputan iaitu Amri, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad dan Pensyarah Kanan FSSK UMS, Dr. Intan Soliha Ibrahim.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Komunikasi Strategik, JaPen Malaysia, Suwadi Guliling, Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (GSPI) JaPen Malaysia, Mohd Rizal Hashim, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JaPen Malaysia, Erwin Khairul Ahmad, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti Zon Sabah, Milus Alu. — JABATAN PENERANGAN SABAH