SEPANG – Polis menahan sepasang suami isteri berusia 20an ketika sedang menampal pelekat bendera Israel pada sebuah premis restoran makanan segera di Kajang pada Khamis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasangam terbabit ditahan reman selama sehari.
“Bagi kesalahan menampal pelekat, suspek boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali…
“Pasangan ini juga akan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali atas perbuatan khianat,” katanya pada media di Ibu Pejabat Polis Lapangan Terbang (KLIA) semalam.
Polis telah mengesan tujuh kes khianat menampal pelekat bendera Israel dan menconteng premis makanan segera dengan perkataan jelik sejak Selasa lalu.
Empat kes dikesan di Sungai Buloh, dua kes di Petaling Jaya dan satu di Kajang.