KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi bersasar bukan bertujuan menyusahkan rakyat, sebaliknya memastikan wang rakyat tidak bocor dan bantuan kerajaan benar-benar dinikmati golongan yang layak.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Zaidi Jatil berkata, atas prinsip itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan supaya BUDI Diesel dan subsidi petrol bersasar dimansuhkan untuk kembali kepada sistem subsidi secara menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan masih membayar subsidi bahan api kepada rakyat, namun pendekatannya kini disasarkan bagi mengelakkan subsidi turut dinikmati tanpa batas oleh pihak yang tidak sepatutnya menerimanya.
“Kerajaan masih membayar subsidi. Yang berubah hanyalah pendekatannya. Subsidi kini disasarkan supaya wang rakyat diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan bukan dinikmati tanpa batas oleh semua pihak, termasuk mereka yang tidak sepatutnya menerima subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidi berkata, kenaikan kos bahan api bukan hanya berlaku di Malaysia kerana harga minyak turut dipengaruhi pasaran antarabangsa, bekalan global dan konflik geopolitik.
Katanya, meskipun berdepan tekanan itu, kerajaan masih melindungi rakyat menerusi subsidi.
Beliau berkata, pada Jun lalu ketika harga RON95 tanpa subsidi berada pada RM3.72 seliter, kerajaan mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter kepada lebih 14 juta penerima yang layak.
Berdasarkan anggaran Kementerian Kewangan, katanya, penerima yang menggunakan 200 liter menikmati penjimatan kira-kira RM346 sebulan.
Mulai Julai pula, rakyat Malaysia yang layak menggunakan diesel menikmati harga bersubsidi RM2.10 seliter, manakala bukan warganegara dan pihak tidak layak membayar harga tanpa subsidi.
“Prinsipnya mudah, subsidi kerajaan sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang layak,” katanya.
Zaidi berkata, subsidi menggunakan hasil negara dan setiap ringgit yang dibelanjakan perlu diurus secara bertanggungjawab kerana kerajaan turut mempunyai komitmen membiayai sekolah, hospital, jalan raya, bekalan air, elektrik, pengangkutan awam, bantuan tunai serta pembangunan Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, pada Mac lalu ketika harga minyak mentah global meningkat, Kementerian Kewangan menganggarkan tanggungan subsidi petrol dan diesel boleh mencecah RM4 bilion dalam tempoh sebulan.
Beliau berkata, penyasaran subsidi diesel pula sebelum ini dianggarkan mampu menghasilkan penjimatan sekitar RM4 bilion setahun yang boleh dikembalikan kepada rakyat melalui bantuan dan pembangunan.
Bagaimanapun, Zaidi menegaskan pelaksanaan subsidi bersasar perlu mengambil kira realiti Sabah yang mempunyai kawasan geografi luas, jarak perjalanan jauh dan jaringan pengangkutan awam yang masih terhad di banyak kawasan.
Katanya, ramai rakyat Sabah bergantung kepada kenderaan sendiri termasuk pikap dan kenderaan diesel untuk bekerja, berniaga serta mengangkut hasil pertanian.
“Sebab itu perjuangan kita sepatutnya bukan mansuhkan BUDI, tetapi perbaiki BUDI.
“Jika kuota tidak mencukupi, kita perjuangkan penambahan. Jika ada golongan yang tercicir, kita perluaskan kelayakan. Jika mekanismenya menyusahkan rakyat pedalaman, kita permudahkan,” katanya.
Zaidi berkata, kerajaan juga telah menunjukkan kesediaan membuat penambahbaikan berdasarkan data penggunaan sebenar, termasuk meneliti semula mekanisme dan kuota sekiranya terdapat jurang.
“Jangan kita bakar sebuah rumah hanya kerana ada atap yang bocor. Baiki yang kurang, pertahankan yang baik.
“Kita mahu rakyat Sabah terus menikmati subsidi. Tetapi pada masa yang sama, kita mahu ketirisan dihentikan, penyeludupan dibanteras dan setiap ringgit wang negara digunakan sebaik-baiknya untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua UMNO Kota Belud, Azuwan Marjan supaya BUDI Diesel dan subsidi petrol bersasar dimansuhkan dan sistem subsidi secara menyeluruh dikembalikan.






