Dua Rumah, Tiga Kereta Musnah Dalam Kebakaran di Taman Mutiara Luyang

Dua Rumah, Tiga Kereta Musnah Dalam Kebakaran di Taman Mutiara Luyang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua buah rumah jenis kekal dan tiga buah kereta musnah dalam kebakaran di Lorong Angsa 10B, Taman Mutiara Luyang, awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.50 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu serta BBP Lintas segera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK I Nickton Berry G Mickey, memaklumkan kebakaran melibatkan dua rumah kekal berukuran 100×22 kaki, rumah pertama terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua terbakar 50 peratus.

“Tiga buah kenderaan jenis Perodua Myvi, Toyota Unser, dan Toyota Landcruiser turut musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi pemadaman dijalankan secara offensive dan defensive menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan air bersumber daripada jentera bomba dan pili berhampiran.

Api berjaya dikawal pada jam 4.22 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.58 pagi.

Seramai 25 anggota terlibat dalam operasi berkenaan, terdiri daripada 16 anggota BBP Kota Kinabalu dan 9 anggota BBP Lintas, dibantu aset termasuk dua jentera FRT, satu Water Tanker, serta dua unit EMRS.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan kerana semua penghuni sempat keluar sebelum pasukan bomba tiba.

Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan 22 rumah berhampiran daripada turut dijilat api.

Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity bagi memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.