Mahkamah Tinggi: Kerajaan Persekutuan Gagal Tunaikan Hak 40 Peratus Hasil Sabah

Mahkamah Tinggi: Kerajaan Persekutuan Gagal Tunaikan Hak 40 Peratus Hasil Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, 17 Oktober – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Hakim Celestina Stuel Galid, ketika membacakan keputusan mengisytiharkan bahawa perintah pemberian khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah “tidak sah, ultra vires (melampaui kuasa) dan tidak rasional”, sekali gus melanggar Perlembagaan.

“Adalah tidak sah bagi pihak Persekutuan untuk menetapkan pemberian khas seperti yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh,” katanya.

Mahkamah mendapati Perintah Semakan Kedua dan Ketiga tidak sah dan membenarkan sepenuhnya permohonan yang dikemukakan oleh Sabah Law Society (SLS).

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus bagi mengarahkan Putrajaya mengadakan semakan hasil baru bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, serta menentukan hak 40 peratus negeri itu bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.

Semakan tersebut mesti dimulakan dalam tempoh 90 hari dan disiapkan dalam tempoh 180 hari.

Mahkamah juga bersetuju dengan permohonan SLS untuk mengiktiraf Perintah Semakan Keempat yang diwartakan pada 27 Ogos 2025, kerana perintah itu mempunyai kesan sama seperti sebelumnya dan perlu dimasukkan dalam perintah akhir bagi melengkapkan proses tersebut. Tiada perintah kos dikeluarkan oleh mahkamah

Pihak SLS diwakili oleh Dr David Fung Yin Kee, Jeyan Marimuttu dan Janice Junie Lim, manakala kerajaan Persekutuan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, dibantu oleh Nur Atirah Aiman Rahim dan Mohammad Solehheen Zaki.

Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, diketuai oleh Brenndon Keith Soh, mewakili kerajaan negeri.