KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan pemulihan kadar asal yuran lesen hotel di bawah Undang-Undang Kecil Bandaraya Kota Kinabalu (Hotel dan Rumah Tumpangan) 1966 adalah demi pembangunan bandar.
Datuk Bandar, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, menjelaskan kadar ini tidak dinaikkan tetapi dikembalikan ke kadar asal selepas dimansuhkan pada 1989 bagi membantu industri hotel ketika ekonomi meleset.
“Hotel hanya perlu membayar RM1.60 sehari bagi setiap bilik dan tidak dikenakan jika bilik kosong. Lima bintang pula hanya RM4.60. Sedangkan peniaga kecil di Foh Sang bayar RM3 sehari,” katanya.
Sabin menekankan dana ini penting bagi kerja-kerja kebersihan, pencahayaan, dan keindahan bandar. “DBKK sering dipersalahkan jika bandar kotor, sedangkan dana amat diperlukan bagi mengatasi masalah ini,” tambahnya.
Setakat 15 Januari, lebih 50 peratus hotel, iaitu 99 premis, telah membayar yuran lesen untuk Januari 2025 selepas undang-undang ini dikuatkuasakan semula pada 1 Januari.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, yang menempatkan 170 gerai. DBKK juga memantau kebersihan bazar, termasuk pengurusan minyak masak, bagi mengelakkan makhluk perosak.
Setakat ini, tiada saman dikeluarkan, namun beberapa peniaga tanpa lesen telah diarah beredar. Sebanyak 21 lagi bazar memohon untuk berada di bawah seliaan DBKK.