Lelaki Dengan Gelaran ‘Bapa Sudoku’ Meninggal Dunia

Lelaki Dengan Gelaran ‘Bapa Sudoku’ Meninggal Dunia

0
SHARE
Maki Kaji digelar sebagai 'Bapa Sudoku'...

TOKYO, JEPUN – Lelaki yang digelar ‘Bapa Sudoku’, Maki Kaji, 69, meninggal dunia pada 10 Ogos lalu selepas bertarung dengan kanser.

Memetik laporan AFP, penerbitnya iaitu Nikoli pada paparan di laman sesawang miliknya akan mengadakan majlis memperingatinya dalam masa terdekat ini.

“Mendiang bertanggungjawab mempopularkan teka teki matematik, Sudoku, yang menjadi minat jutaan orang di serata dunia,” katanya.

Sudoku adalah sejenis permainan atau teka teki silang nombor berasaskan matematik yang dicipta oleh pakar matematik Switzerland, Leonhard Euler, pada kurun ke 18.

Ada pihak mendakwa versi moden permainan itu dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) tetapi Kaji adalah individu sebenar yang bertanggungjawab mempopularkannya sehingga menjadi kegilaan global.

Malah, ungkapan Sudoku adalah ciptaan beliau, mirip kepada perkataan Jepun yang membawa makna ‘setiap nombor mesti tunggal’.

Sudoku memerlukan seseorang meletakkan angka satu hingga sembilan dalam kotak mengandungi 81 kotak kecil, dengan memastikan tiada nombor yang sama baik dalam mana-mana barisan kotak yang melintang atau menegak.

Ia bertambah rumit kerana grid kotak besar berkenaan turut dibahagikan kepada sembilan blok kotak mengandungi sembilan kotak kecil di dalamnya, yang setiap satu daripadanya mesti diisi dengan angka antara satu hingga sembilan.

Walaupun nama Sudoku lebih popular, konsep asalnya dikenali sebagai Latin Squares yang diilhamkan Eular pada kurun ke 18 iaitu sebuah grid di mana setiap nombor atau simbol berlainan perlu dimuatkan hanya sekali dalam setiap baris.

Nikoli menemui salah satu versi permainan itu dalam sebuah majalah Amerika Syarikat (AS) sekitar 1980an dan memperkenalkannya di Jepun, maka lahirlah Sudoku.

Ia memasuki Eropah dan AS beberapa dekad selepas itu, dengan BBC Britain pada 2005 menerbitkan sebuah rencana mengenai teka teki yang memulakan ‘serangan’ di negara itu dan kini boleh ditemui dalam empat akhbar arus perdana.

Kaji yang memberitahu BBC pada 2007 bahawa mencipta teka teki baharu adalah umpama ‘menemui harta karun’.

“Ini bukan mengenai sama ada ia menguntungkan dari segi kewangan, sebaliknya lebih kepada keterujaan ketika cuba menyelesaikan teka teki ini,” katanya.