Majlis Ugama Islam Sabah Nafi Fitnah Lama Babit Pengurusan Zakat

Majlis Ugama Islam Sabah Nafi Fitnah Lama Babit Pengurusan Zakat

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menegaskan tuduhan kononnya berlaku salah guna kuasa dalam pengurusan Tabung Zakat yang kembali ditularkan di media sosial adalah fitnah lama yang tidak berasas sama sekali dan sengaja diulang untuk menjejaskan imej institusi itu.

Menurut MUIS, dakwaan berkenaan telah pun disiasat secara menyeluruh selepas mendapat perhatian Ketua Menteri serta Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama sebelum ini.

“Pada masa sama, tindakan saman fitnah telah diambil terhadap pihak yang mencetuskan tuduhan tersebut dan prosiding mahkamah masih berlangsung serta wajar dihormati semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

MUIS menjelaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan terhadap keseluruhan akaun kewangan MUIS termasuk Tabung Zakat dan tidak menemukan sebarang unsur salah laku oleh pegawai atau pihak dalaman.

“Jabatan Audit Negara juga mengaudit akaun MUIS setiap tahun dan memberikan Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut, bukti pengurusan kewangan yang telus, berhemah dan mengikut semua peraturan berkaitan,” tambahnya.

MUIS turut menegaskan reputasi sistem pentadbirannya telah diiktiraf melalui Pensijilan MS ISO 9001:2015 sejak 2021 yang diberikan berdasarkan audit pematuhan tahunan.

Selain itu, MUIS kini berada pada peringkat akhir memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah MS ISO 37001:2016 sebagai komitmen memastikan tadbir urus kekal bersih dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan yang sengaja direka dan dijaja berulang kali bagi membangkitkan persepsi negatif terhadap MUIS sebagai institusi Islam yang memainkan peranan penting memelihara kebajikan asnaf di negeri ini,” jelasnya.

MUIS menegaskan ia akan terus berpegang pada prinsip amanah dan integriti dalam menjalankan tanggungjawab, serta tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat untuk mencemar nama baik dan maruahnya.