KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki mengalami putus kaki sebelah kiri selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Budan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, semalam.
Ketua Polis Daerah Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, mangsa, iaitu Muhammad Adam Muqlis Abdul Aziz, berusia 18 tahun mengalami cedera parah dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.16 malam, lapor Sinar Harian.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Toyota Hilux dari bahu jalan sebelah kiri telah membuat pusingan U untuk menghala ke arah lampu isyarat Budiman.
“Ketika itu secara tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 yang datang dari arah lampu isyarat Budiman telah berlanggar dengan kereta tersebut di bahagian sisi hadapan sebelah kanan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah iaitu putus kaki sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, mangsa telah pun dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahiraj (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu itu telah hadir untuk memberi keterangan di balai polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Difahamkan sebelum kejadian Muhammad Adam Muqlis dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal selepas habis berniaga air kelapa di gerainya.