Polis Kesan Pemilik Akaun Facebook Timbulkan Kebencian Terhadap Pemain Bola Sepak

Polis Kesan Pemilik Akaun Facebook Timbulkan Kebencian Terhadap Pemain Bola Sepak

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pihak polis sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saiffudin Nasution Ismail ketika ditemui media dalam Seminar On Cybercrime And Substance Abuse Consciousness di MITEC, di sini, hari ini, lapor Astro Awani.

Beliau berkata, ia susulan kes serangan yang melibatkan dia pemain bola sepak, iaitu Faisal Halim dan Akhyar Rashid.

“Ada beberapa laporan sampai kepada kita tentang kewujudan beberapa laman sosial dalam bentuk Facebook dan segala macam yang kemudiannya menyasarkan beberapa pemain-pemain bola kebangsaan ini. 

“Saya baru peringkat awal menerima laporan itu, saya percaya pihak polis akan lakukan langkah seterusnya,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, Akhyar, 25, yang baru sahaja keluar dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di kepala dan badan.

Akibat perbuatan suspek yang tidak dikenali di hadapan sebuah kondominium itu, Akhyar mengalami kerugian lebih RM4,800.

Kemudian pada Ahad lalu, media melaporkan, pemain Selangor FC (Faisal) itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya.