TAMPARULI, SABAH – Seramai 12 penerima Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, mensyukuri bantuan kerajaan menerusi Pejabat Daerah Kecil Tamparuli.
Kesemua mereka terpilih menerusi kriteria kehilangan tempat tinggal akibat rumah terbakar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, berkata, asas utama pemilihan penerima adalah kerana kebakaran rumah, yang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
“Mereka terpilih kerana kita melihat keadaan yang mendahului keperluan orang lain, sebelum kita melihat kriteria bakal penerima atau pemohon yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis singkat gimik penyampaian bantuan PPRT di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, dekat sini, pada Jumaat.
Menurut Jahid, kepentingan rakyat sentiasa diutamakan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan sepatutnya.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap rakyat dan berharap bantuan ini akan dapat memberikan keselesaan kepada ahli keluarga penerima PPRT,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan pembinaan rumah tersebut akan sentiasa dipantau, bagi memastikan semuanya siap mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, berkata, para penerima perlu bersyukur kerana daripada lebih 300 pemohon, mereka telah diberi keutamaan.
“Setelah tapisan dibuat menerusi mesyuarat jawatankuasa pemilih dan diluluskan oleh Menteri, inilah yang telah terpilih,” katanya.
Herman menambah, keutamaan diberi kepada mangsa-mangsa kebakaran, terutama mereka yang berada dalam kelompok berdaftar e-Kasih.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna, yang berada dalam kriteria lain tidak mendapat perhatian, tetapi disebabkan keadaan mereka ini yang hidup sehelai sepinggang akibat kebakaran, maka kita perlu beri keutamaan buat masa ini,” katanya.
Seorang penerima, Sani Lingkubang, 76 tahun, dari Kampung Tambulaung, menghargai sumbangan kerajaan tersebut, yang pastinya dapat memberikan sinar baharu kepada keluarga mereka.

“Kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan terutamanya kepada Datuk Jahid Jahim atas bantuan yang telah diberi,” katanya.
Sementara itu, mangsa kebakaran di Kampung Mangkaladoi beberapa hari lepas, Ganih Ajin, 59 tahun, turut tersenarai sebagai penerima.
“Sekarang ini, kami terpaksa menumpang di rumah adik saya sebelum mendapat sebuah rumah yang baharu, syukurlah kerana nasib kami terbela dengan adanya bantuan rumah PPRT ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut, Penolong Pegawai Pembangunan (ADDO) Daerah Kecil Tamparuli, Jefferson Jonathan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Joana Sinteh dan beberapa pemimpin masyarakat lain.