BEIJING, CHINA – Polis China, pada tahun ini membanteras Kes penipuan menggunakan dokumen kerajaan yang direka bertujuan menarik pelaburan dalam projek nasional palsu bernilai ratusan juta dolar berjaya dibanteras oleh polis di China pada tahun ini, demikian lapor media kerajaan hari ini.
Agensi berita rasmi Xinhua yang dipetik Reuters melaporkan, agensi keselamatan awam menyelesaikan lebih 260 kes pada tahun ini dan menumpaskan 180 kumpulan penjenayah berkaitan projek nasional palsu, membabitkan dana berjumlah 1.5 bilion yuan (RM971.8 juta) daripada pelabur.
Penipuan seperti itu sering dilakukan dalam talian, dengan operasi berpangkalan di luar negara yang memperdaya orang ramai supaya membayar modal permulaan atau yuran keahlian.
Projek pembasmian kemiskinan palsu menggunakan dokumen dan kelayakan kerajaan yang direka-reka juga adalah perkara biasa, menurut laporan itu.
Penipuan dalam talian amat berakar umbi di China dan berlaku ketika ekonominya yang perlahan berusaha menarik dana pelaburan dari dalam dan luar negara bagi menyuntik banyak sektor dan industri di negara itu.
Pengurus aset global yang menubuhkan kedai di China bergelut dengan penipuan yang berleluasa, yang mana penjenayah dalam talian memperdaya pelabur dengan pulangan lumayan bagi produk baharu menggunakan jenama dan logo mereka secara haram.
Bulan lalu, dana kekayaan berdaulat Singapura, Temasek Holdings berkata, terdapat penjenayah yang mendakwa mewakili pejabatnya di Shenzhen dan meminta wang daripada individu atas asas membayar balik mereka dengan komisen.
Polis China, pada tahun ini mula membanteras penipuan dalam talian yang beroperasi di Myanmar, yang mana lebih 100,000 orang terbabit dalam penipuan telekomunikasi setiap hari.