DBKK Peka Kebimbangan Pengguna Sabah Smart Parking Dan Komited Tangani Isu Secara...

DBKK Peka Kebimbangan Pengguna Sabah Smart Parking Dan Komited Tangani Isu Secara Baik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa peka terhadap kebimbangan pengguna dan komited untuk menangani semua isu berkaitan penggunaan aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) secara baik dan mesra.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, ia termasuklah mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang disuarakan warga bandaraya khususnya warga emas, mengenai penggunaan aplikasi SSP.

Bagi menangani isu itu katanya, pihaknya telah mengambil langkah proaktif untuk menangani isu-isu berkaitan.

“Isu berkaitan adalah melibatkan pengguna yang belum memuat turun aplikasi SSP; tidak memiliki telefon pintar; tidak melanggan atau mengalami gangguan akses internet; dan tiada kemudahan perbankan dalam talian.

“Bagi mengatasi isu-isu itu, warga bandaraya boleh mengunjungi kaunter atau perhentian perkhidmatan DBKK bagi mendapatkan perkhidmatan seperti pembelian kredit SSP; bantuan memuat turun aplikasi SSP; bantuan pendaftaran sehingga 10 kenderaan bagi setiap aplikasi dan kemudahan pembelian kredit SSP melalui kaunter,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

DBKK sebelum ini telah mengumumkan penamatan penggunaan kupon parkir fizikal (gores) berkuat kuasa pada 16 November lalu dan sistem itu digantikan sepenuhnya dengan penggunaan aplikasi SSP.

Sabin berkata, waktu operasi kaunter dan perhentian perkhidmatan DBKK adalah pada setiap Isnin hingga jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dan Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

Selain itu katanya, DBKK telah menubuhkan Pusat Pembelajaran SSP untuk memberikan panduan dan latihan mengenai penggunaan aplikasi SSP seperti pembelian kredit.

“Pusat ini terletak di Bangunan KK Sentral. Walau bagaimanapun, penukaran nilai kupon parkir kepada kredit SSP kini dilanjutkan sehingga Disember 2024.

“Pegawai penguat kuasa berbaju biru juga akan ditempatkan di sekitar bandar untuk memberikan bantuan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin berkata, bagi pengguna yang dikenakan kompaun semasa menggunakan kupon parkir fizikal (gores) boleh mengunjungi kaunter atau perhentian perkhidmatan yang disediakan untuk membuat rayuan pembatalan.

Katanya, proses ini akan dikendalikan secara pentadbiran.

“Sejak pelaksanaan SSP pada 16 Oktober lalu, lebih daripada 125,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini. Angka ini menunjukkan sokongan kuat terhadap SSP di Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.