Sabah Sambut Baik Pengumuman Rasmi Pengumuman Tiga Syarikat Penerbangan Utama China

Sabah Sambut Baik Pengumuman Rasmi Pengumuman Tiga Syarikat Penerbangan Utama China

0
SHARE
Christina (empat dari kiri) memegang figura kapal terbang sebagai simbolik pengumuman rasmi jadual penerbangan secara rerus ke Kota Kinabalu dari tiga syarikat penerbangan utama China ( Sumber Foto: Ihsan KePKAS )

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyambut baik pengumuman rasmi berhubung jadual penerbangan secara terus ke Kota Kinabalu dari Shenzhen, Xiamen dan Shanghai tahun ini menerusi syarikat penerbangan utama China.

Menterinya, Datuk Christina Liew berkata sebelum ini perkhidmatan penerbangan terbabit telah dihentikan susulan pandemik COVID-19 yang melanda sejak tahun 2020 sehingga 2022.

Katanya, pengumuman tersebut dibuat oleh pegawai tinggi syarikat penerbangan China yang berpejabat di Kuala Lumpur yang masing-masing daripada China Southern Airlines, Xiamen Airlines dan China Eastern Airlines.

“Pengurus Besar China Southern Airlines, (Eric Wang Xu) mengesahkan kepada saya bahawa syarikat penerbangan itu akan beroperasi semula dari Shenzhen ke Kota Kinabalu bermula pada 29 April nanti.

“Terdapat tiga penerbangan pada setiap minggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Christina turut berkata babawa Pengurus Besar Xiamen Airlines Gao Ya Shuang, syarikat terbabit turut mengumumkan penerbangan terus mereka dari Xiamen ke Kota Kinabalu pada sekitar Mei.

Selain itu, Pengurus Besar China Eastern Airlines Li Bin juga menjelaskan bahawa pihaknya akan menyambung semula penerbangan dari Shanghai ke Kota Kinabalu pada Jun atau Julai depan.

“Ini merupakan masa yang tepat dilakukan oleh tiga syarikat penerbangan China ini, ia juga petanda baik bagi usaha kerajaan negeri bagi memulihkan industri pelancongan di Sabah,” katanya.

Christina dalam pada itu turut mengingatkan pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu agar menambah baik kualiti tandas awam dan memastikan kebersihan kemudahan itu pada setiap masa.

“Sila ambil langkah sewajarnya untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi mengelakkan sebarang bau busuk dari tandas,” katanya.