KUCHING, SARAWAK – Seorang lelaki membuat laporan palsu kononnya disamun di Jalan Pisang, di sini kerana bimbang dimarahi isterinya disebabkan belum membayar kos rawatan pusat jagaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, perbuatan suspek berumur 67 tahun itu terbongkar apabila soal siasat dijalankan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mendapati terdapat keraguan dalam laporan polis yang dibuat.
Katanya, suspek membuat laporan pada Khamis baru-baru ini, kira-kira jam 1.37 petang memaklumkan disamun dua lelaki bersenjatakan pisau.
“Kejadian didakwa berlaku pada 16 Mac 2023, jam lebih kurang 10.30 pagi bertempat di Jalan Pisang, Kuching, Sarawak dan dikatakan telah mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM2,000 dan dokumen pengenalan diri…
“Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku telah membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian samun disebabkan bimbang dimarahi oleh isterinya kerana belum membuat pembayaran kos rawatan berjumlah RM2,000 di salah sebuah pusat jagaan di sini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, satu laporan polis dibuat ke atas membuat laporan polis palsu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan Yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, Merbin berkata, berdasarkan statistik tahun 2022, sebanyak 13 laporan polis palsu berkenaan kejadian mangsa atau suspek telah disamun diterima oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching sedangkan kejadiaan berkenaan tidak berlaku.
Manakala, katanya, bagi 1 Januari 2023 hingga 16 Mac 2023, sebanyak tiga laporan telah dikesan.