KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melaksanakan 10 pelan tindakan interim bagi menangani kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP), termasuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Task Force yang akan menyelaras pelaksanaan setiap inisiatif bagi memastikan kelancaran rantaian logistik serta mengelakkan kenaikan kos yang membebankan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan memandang serius isu kesesakan di SBCP kerana ia memberi kesan kepada kelancaran operasi pelabuhan, kos logistik dan harga barangan di negeri ini.
Katanya, Jawatankuasa Task Force yang dipengerusikan beliau sendiri akan menyelaras pelaksanaan 10 pelan tindakan interim yang telah diluluskan Jemaah Menteri, selain memantau keberkesanan setiap langkah secara berterusan bersama agensi berkaitan dan pemain industri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) dan Datuk Donald Peter Mojuntin (Moyog) mengenai prestasi operasi DP World Sabah serta langkah kerajaan menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Menurut Ewon, antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah penambahan kawasan penyimpanan kontena (container yard), pelaksanaan kadar tarif baharu, penguatkuasaan terhadap kontena yang melebihi tempoh simpanan, pengurangan tempoh penyimpanan percuma ketika musim puncak, penyediaan tapak parkir treler di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS), operasi 24 jam agensi kerajaan di SBCP, menaik taraf peralatan pelabuhan, pemindahan operasi Roll-on/Roll-off (RORO) ke Pelabuhan Kota Kinabalu serta pelaksanaan Berthing Window Programme (BWP).
“Kementerian sentiasa komited memantau keberkesanan pelan interim ini dari semasa ke semasa dan akan memberikan penyelesaian konkrit kepada kesesakan di SBCP.
“Kelancaran aliran logistik ini diharap akan meminimumkan kos kendalian secara menyeluruh dan mengelakkan sebarang kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat Sabah,” katanya.
Mengulas prestasi DP World Sabah, Ewon berkata kerjasama strategik antara Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) dan syarikat itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan serta menjadikan SBCP sebagai hab pemindahan kargo (transhipment) dan perdagangan utama di rantau BIMP-EAGA serta Intra-ASEAN.
Bagaimanapun, beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata projek pembesaran SBCP yang sepatutnya siap pada Februari 2025 mengalami kelewatan sehingga diberikan lima kali lanjutan tempoh (Extension of Time – EOT), menyebabkan DP World Sabah mengambil alih pengurusan pelabuhan ketika projek berkenaan masih belum selesai.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan sebarang kajian prestasi atau audit rasmi terhadap pengurusan DP World Sabah masih terlalu awal untuk dilaksanakan.
Ewon berkata, pemantauan berterusan oleh Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) menunjukkan purata masa menunggu kapal berlabuh berjaya dikurangkan daripada 66 jam sebelum pengambilalihan kepada hanya 20.24 jam selepas DP World Sabah mengambil alih operasi hasil peningkatan produktiviti pelabuhan, penambahbaikan perancangan kapal dan penggunaan empat quay crane secara serentak.
Beliau bagaimanapun menjelaskan peningkatan semula tempoh menunggu kapal kebelakangan ini berpunca daripada kadar penggunaan kawasan penyimpanan kontena yang mencecah 101 peratus susulan pertambahan jumlah pengendalian kontena, pengurangan ruang simpanan akibat projek pembesaran serta gangguan operasi ketika kerja menaik taraf pintu gerbang terminal.
Katanya, DP World Sabah turut meningkatkan kapasiti kawasan penyimpanan kontena sebanyak 41 peratus daripada 6,800 TEUs kepada 9,574 TEUs, namun pertumbuhan ekonomi dan peningkatan aktiviti perdagangan menyebabkan kapasiti tambahan itu masih belum mencukupi.
Sehubungan itu, kementerian turut melaksanakan langkah tambahan termasuk memanfaatkan kawasan RORO sebagai lokasi simpanan kontena kosong, menyiapkan kawasan container yard baharu seluas empat ekar yang dijangka siap pada Disember 2026 serta mengambil alih tanah seluas 14 ekar bersebelahan SBCP sebagai kawasan simpanan kontena sementara.
Ewon berkata, secara keseluruhannya prestasi DP World Sabah adalah memuaskan meskipun berdepan kekangan kapasiti kawasan penyimpanan yang terhad.
“Kerajaan negeri menyedari SBCP sedang berdepan cabaran kesesakan sementara akibat lonjakan jumlah kendalian kontena dan pelaksanaan projek pembesaran infrastruktur yang masih berjalan.
“Namun, pelbagai langkah mitigasi sedang giat dilaksanakan termasuk 10 pelan tindakan interim bagi memastikan kelancaran rantaian logistik dan ekonomi Sabah terus terpelihara,” katanya.






