Polis Ketatkan Pemeriksaan Di Pintu Masuk Stadium Shah Alam

Polis Ketatkan Pemeriksaan Di Pintu Masuk Stadium Shah Alam

0
SHARE

SHAH ALAM – Pihak polis akan mengetatkan pemeriksaan di pintu masuk Stadium Shah Alam sempena perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dengan Thailand, malam esok.

Tanpa menyatakan jumlah anggota terbabit, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, anggotanya sudah bersiap sedia untuk mengawal keselamatan pemain dan penonton yang datang bagi menyaksikan perlawanan akhir itu.

“Anggota polis sudah bersiap sedia dan pemeriksaan di pintu masuk stadium akan diketatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang yang dibawa masuk. Kami tidak akan berkompromi mengenai isu keselamatan.

“Walaupun barisan semasa pemeriksaan esok panjang tapi kami akan tetap laksanakan pemeriksaan ketat bagi memastikan keselamatan semua pihak terjaga dan saya harap penonton akan patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khalid turut mengingatkan penonton yang ingin datang menyaksikan perlawanan akhir di stadium supaya datang awal bagi memudahkan kelancaran proses pemeriksaan di pintu masuk nanti.