Taib Selamat Berada di Kediaman Bersama Isteri

Taib Selamat Berada di Kediaman Bersama Isteri

0
SHARE
Taib Mahmud, Bekas TYT Sarawak

PETALING JAYA: Bekas Yang Di-Pertua Sarawak, Taib Mahmud berada dalam keadaan selamat selepas didakwa dibawa keluar dari hospital kelmarin lapor Utusan Malaysia.

Persuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata mengesahkan bahawa, Taib kini berada di kediamannya di Kuching Sarawak bersama isterinya, Raghad Kurdi Taib.

“Siasatan masih diteruskan oleh polis,” katanya.

Terdahulu polis mengesahkan menerima laporan mendakwa Taib dibawa keluar dari sebuah hospital swasta.

Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. 

Menurut laporan polis yang tular, Taib, 87 tahun dibawa keluar dari unit rawatan Rapi Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching pada lewat malam Sabtu lalu.

Seorang ahli keluarga terdekat didakwa mencabut semua peralatan perubatan pada tubuh Taib tanpa memaklumkan kepada kakitangan hospital dan membawanya keluar menggunakan kerusi roda, sebelum menaiki kenderaan.

Taib berkhidmat selama tiga penggal sebagai Yang di-Pertua Sarawak dari 1 Mac 2014 hingga 26 Jan lalu, sebelum digantikan oleh Wan Junaidi Tuanku Jaafar.