KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu pada Isnin lalu atas pertuduhan menerima suapan rasuah sebanyak RM2,000 dari seorang pengedar dadah.
Bagaimanapun, tertuduh, Zakaria Mohd Jasni, 40 tahun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan itu dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah, Jason Juga.
Mengikut pertuduhan, Zakaria pada 18 Jun 2021, jam 12,20 petang bertempat di Fook Soon Seafood Product Sdn Bhd, dalam daerah Kudat, sebagai seorang Sarjan di Jabatan Siasatan Narkotik, PDRM yang bertugas IPD Kudat secara rasuah cuba untuk memperoleh satu suapan, iaitu wang berjumlah RM2,000.
Wang itu telah dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik individu lain sebagai balasan untuk tidak melakukan apa-apa tindakan ke atas pengedaran dadah yang dijalankan oleh seorang individu di daerah Kudat.
Tindakan tertuduh itu dinyatakan dalam kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Tertuduh kemudian diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 oleh seorang penjamin tempatan dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan.
Tertuduh turut diarahkan untuk tidak mengganggu saksi serta pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom.