Pembinaan Pusat Sains di Tuaran Tidak Diteruskan Atas Faktor Kedudukan Kurang Strategik...

Pembinaan Pusat Sains di Tuaran Tidak Diteruskan Atas Faktor Kedudukan Kurang Strategik – MOSTI

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Sains Negara Cawangan Sabah (PSNCS) yang dicadangkan ditubuhkan di Kampung Laya-Laya, Tuaran Sabah tidak dapat diteruskan atas beberapa faktor utama.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), antara faktor yang menyebabkan pusat yang sepatutnya dibina di atas tanah berkeluasan 20 ekar itu adalah disebabkan kedudukan lokasi yang kurang strategik.

“Selain itu, jumlah populasi penduduk yang rendah serta kekurangan prasarana asas yang menyukarkan pelaksanaan projek.

“Kos pembinaan infrastruktur yang tinggi juga menjadi cabaran, memandangkan laluan jalan ke lokasi tersebut masih belum tersedia.”

Kementerian itu menyatakan demikian dalam satu Jawapan Bertulis terhadap soalan Bukan Lisan yang dikemukakan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.

Dalam soalannya, Madius meminta MOSTI menyatakan status pembinaan Pusat Sains Negara (PSN) yang telah dicadangkan untuk dibina di Kampung Laya-Laya Tuaran pada tahun 2016.

Menurutnya, jika cadangan itu dibatalkan, apakah punca pembatalan dan dimanakah ia akan dibina?

MOSTI memaklumkan, pada masa ini PSN dengan bantuan Kerajaan Sabah giat mencari lokasi alternatif yang lebih sesuai untuk penubuhan PSNCS.

“Lokasi tersebut perlu mengambil kira faktor seperti kepadatan penduduk setempat, kemudahan awam yang tersedia, capaian masyarakat Sabah serta kemampuan Kerajaan dalam membiayai pembangunan tersebut.

“Bagi memenuhi matlamat merakyatkan sains dan teknologi di kalangan penduduk Sabah, penubuhan PSNCS dijangka dipohon untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Tiga Belas (RMKe-13),” ujar kementerian itu lagi.

Untuk rekod, cadangan penubuhan PSNCS bertujuan bagi meluaskan capaian masyarakat terhadap usaha pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta menyokong ekosistem pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di Malaysia.