KOTA KINABALU: Sebuah kebakaran melibatkan empat kenderaan berlaku di Bulatan Masjid Bandaraya, Likas, ketika solat Zohor petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.59 tengah hari sebelum sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bergegas ke lokasi.
“Jentera tiba pada jam 1.02 petang dan operasi pemadaman berjaya dikawal dalam tempoh lima minit.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 1.50 tengah hari,” kata seorang pegawai jurucakap agensi.
Kebakaran menyebabkan sebuah Toyota Alphard musnah 90 peratus, Proton Iriz terbakar 60 peratus, manakala Proton Saga dan Proton Iswara mengalami kerosakan ringan masing-masing 5 peratus dan 7 peratus.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera bomba.