BEAUFORT, SABAH – Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) melancarkan program Ziarah Kasih Ramadan bagi kawasan Beaufort sebagai tanda kasih sayang dan merapatkan hubungan sesama ummah.
Program tersebut dilancarkan semasa majlis berbuka puasa dan solat magrib di masjid Kampung Rancangan Klias di sini.
Presidennya, Haji Ruslan Muharam mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Biro Agama PBBS, Ustaz Haji Jaludin Haji Kadir dan para ahli jawatankuasa (AJK) biro tersebut.
Ruslan menjelaskan program Ziarah Kasih Ramadan ini dilaksanakan adalah sebagai tanda kasih sayang dan merapatkan hubungan silaturahim antara semua umat Islam di bulan Ramadan ini..

Beliau juga mengajak semua menjalankan ibadah puasa dengan menunaikan zakat, solat Tarawih berjemaah seterusnya amalan-amalan lain.
“Saya berharap kita semua jangan melepaskan peluang di bulan Ramadan ini,” kata Ruslan yang juga Ketua USIA Beaufort.
Ruslan turut menghadiri Solat Isyak dan Tarawih serta menyampaikan sumbangan berupa dua set telekung, dua helai kain sarung dan 20 naskhah Surah Yaasin.
Di majlis yang sama Ruslan juga menyampaikan sumbangan kepada Imam Masjid Takuli dan Pengerusi Surau Kampung Landayan, Beaufort.
Turut hadir ialah para kakitangan USIA Beaufort, serta Pengerusi Biro Wanita, Ustazah Hajah Zaiton Pokni.





