TUDM Aturgerak Pesawat Bawa 20 Tan Makanan Asas Ke Labuan Yang Dikenakan...

TUDM Aturgerak Pesawat Bawa 20 Tan Makanan Asas Ke Labuan Yang Dikenakan PKPD

0
SHARE

SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada hari ini telah mengaturgerak sebuah pesawat membawa 20 tan bekalan makanan asas ke Wilayah Persekutuan Labuan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 15 Jun lalu.

Bekalan keperluan makanan asas yang dihantar ini akan diagihkan kepada kira-kira 13,800 keluarga melibatkan lapan (8) lokaliti yang dikenalpasti sebagai berisiko tinggi di negeri tersebut.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata seawal jam 7.00 pagi tadi, anggota petugas TUDM dari Cabang Pergerakan, Pangkalan Udara Subang bersama anak kapal pesawat A400M dari No. 22 Skuadron bertungkus lumus melaksanakan proses memuatnaik kotak-kotak bekalan makanan ke badan pesawat.

“Makanan asas ini adalah seperti beras, minyak masak, sardin tin, krimer manis, sos cili, kicap, gula, garam, biskut, tepung gandum, bihun, serbuk kopi dan serbuk teh,” jelasnya.

Misi bantuan yang dilaksanakan oleh TUDM ini adalah usahasama di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Labuan.

“Pesawat telah terbang dari Pangkalan Udara Subang pada jam 9.00 pagi tadi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan jam 11.30 pagi…

“Penerbangan yang dilaksanakan oleh TUDM pada hari ini merupakan penerbangan keempat melibatkan penghantaran bantuan bekalan makanan ke WP labuan semenjak pelaksanaan PKPD di negeri tersebut,” kata sumber.

Turut dibawa bagi penerbangan kali ini ialah peralatan perubatan COVID-19 daripada KKM dan Institut Perubatan Penerbangan (IPP) serta barangan peralatan bagi Hospital Medan ATM.

Proses pemunggahan yang mengambil masa hampir satu setengah jam itu turut disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan KSU KPWKM, Dr. Maziah Che Yusoff, Timbalan Ketua Staf MPOU, Brig Jen Dato’ Othman Ahmad dan Pegawai Laksana PU Subang, Kol Mohammad Jafri Suboh turut mengiringi dan menjelaskan tentang pengoperasian misi penghantaran udara tersebut.