LONDON – Bekas pemain sayap Manchester United, Angel Di Maria baru-baru ini melakukan kenyataan panas kepada bekas kelabnya dan juga bekas pengendali kelab itu, Louis Van Gaal.
Di Maria dalam kenyataan itu menegaskan bahawa dia tidak kisah langsung berkenaan jersi keramat no.7 di kelab ‘The Red Devils’ itu. Ia hanya menganggap itu sekadar nombor dan tiada apa yang istimewa tentang nombor jersi itu berbanding lainnya.
“Saya tak kisah langsung berkenaan no. 7 Manchester United. Mereka bercakap banyak sekali tentang nombor itu kepada saya. Namun bagi saya, ianya hanyalah sekadar jersi…
“Masalah saya di Manchester United ialah jurulatih. Van Gaal jurulatih paling teruk dalam karier saya. Saya skor dan assist, namun hari keesokannya dia menunjukkan video detik saya melakukan hantaran gagal.
“Dia kemudian menukar posisi saya setiap hari bermain,” luah Di Maria.
Peminat di Manchester United ramai memberi reaksi bahawa Di Maria yang dibawa masuk dari Real Madrid dengan nilai £60 juta pada 2014 telah gagal memuaskan hati mereka.
Ketika itu Di Maria dianggap pemain yang menamatkan penantian United untuk melihat nombor keramat 7 di Old Trafford mereka menjadi pemain bintang elit dan berpengaruh serta memberi impak sekali lagi.
Jersi nombor 7 di United signifikan dengan beberapa legenda United termasuk Cristiano Ronaldo, David Beckham, Eric Cantona dan George Best.
Berbeza dengan penampilan terbaiknya di Real Madrid, Di Maria seringkali dikritik peminat United sendiri kerana kariernya yang sukar untuk memberi aksi yang terbaik di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Beliau hanya membuat 27 penampilan dala Liga Perdana Inggeris untuk Manchester United dan akhirnya meninggalkan pasukan itu untuk menyertai PSG, hanya selepas semusim.
Terkini, nombor keramat jersi 7 Manchester United kembali menjadi milik Cristiano Ronaldo.
Cristiano Ronaldo yang kembali ke Manchester United selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford itu bakal meraih gaji sebanyak £480,000 (RM2.76 juta) seminggu.
Ronaldo memenangi TIGA (3) kejuaraan Premier League, satu kejuaraan Piala FA, dan satu kejuaraan Champions Legaue. Beliau turut memenangi anugerah Ballon d’or pertamanya bersama Manchester United.