KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) bakal dipinang oleh bekas pembantu peribadinya (PA) dalam masa yang terdekat ini.
Ahmad Iqbal Zulkefli, 27, baru-baru ini memaklumkan kepada mStar bahawa dia serius ingin melangkah ke fasa baharu kehidupan dan enggan membuang masanya untuk bermain cinta dengan bekas majikannya itu.
“Saya dah fikir masak-masak! Saya tak mahu main-main dengan perasaan ini terlalu lama. Saya merancang nak merisik dan meminang dalam masa terdekat. Saya pun sudah menghubungi kakaknya di kampung dan beritahu mengenai niat ini…
“Cuma bila waktunya saya tak boleh nak bagi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan keluarga untuk bertemu, tapi kalau boleh minggu depan saya nak hantar rombongan.
“Saya dah cakap dengan Vida, dia faham maksud saya tapi dia minta ikut adat sebab dia perempuan, jadi lebih elok kalau jumpa keluarganya dahulu… saya tak nak buang masa dah,” kata Iqbal.
Datuk Seri Vida (DSV) melalui Instagram miliknya turut berkongsi rakaman panggilan video bersama Iqbal baru-baru ini.
Rakaman panggilan video itu jelas menunjukkan Iqbal mengakui terlalu rindukan DSV dan mahu meneruskan hubungan mereka ke fasa yang baharu.
VIDEO rakaman panggilan video Iqbal bersama DSV yang tular baru-baru ini…(Sumber: Instagram ‘datoserivida’)
Sementara itu, Iqbal yang juga merupakan seorang usahawan produk wangian berkata dia lega apabila Vida disahkan oleh doktor masih subur dan boleh mendapatkan zuriat.
“Dah dua kali DSV buat ujian kesuburan… Alhamdulillah dia boleh hamil lagi. Itu satu berita yang baik untuk kami jika berkahwin, sekurang-kurangnya nanti kami boleh timang anak…
“Saya berkahwin sebab memang nak anak dan dia sendiri sanggup buat ujian untuk memastikan dia masih boleh mengandung, saya kira itu satu pengorbanan besar untuk saya.
“Tapi dalam masa yang sama terdetik juga rasa kasihan kerana dia perlu mengandung lagi di usia bagini. Namun dalam sesebuah perkahwinan semestinya soal zuriat juga penting,” ujarnya.
Dalam pada itu, Iqbal turun menafikan dia dan Vida sengaja menjaja kisah cinta mereka sebagai gimik untuk melariskan produk jualan mereka masing-masing.
“Semua yang kami kongsi di media sosial setakat ini benar, cuma DSV biasalah, tidak boleh lari daripada menjual produk…
“Saya minta dia perlahankan sikit menjual, tapi dia kata itu dah sebati dengannya.
“Tapi saya mahu orang ramai tahu, luahan perasaan saya ini adalah benar. Saya tak boleh nak simpan perasaan yang lama terbuku dalam hati ini,” jelas Iqbal lagi.
Memetik laporan mStar pada 28 Ogos lalu, Iqbal mendedahkan dia dengan DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 49, hampir berkahwin pada tahun 2018, namun perancangan mereka itu tidak kesampaian atas sebab-sebab tertentu.