Lima Parah, 16 Lagi Cedera Dalam Kemalangan Bas di Jalan Bukit Kimanis-Keningau

Lima Parah, 16 Lagi Cedera Dalam Kemalangan Bas di Jalan Bukit Kimanis-Keningau

0
SHARE

KIMANIS Lima individu cedera parah manakala 16 lagi mengalami kecederaan ringan selepas sebuah bas persiaran dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, bas yang membawa 21 penumpang warga Malaysia berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PKPgB Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 tengah hari sebelum lapan anggota dari BBP Kimanis dan BBP Papar dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, bas persiaran berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 1.58 tengah hari, didapati lima mangsa yang tersepit di dalam bas sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota penyelamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lima mangsa yang mengalami kecederaan parah terdiri daripada dua lelaki berusia 64 dan 71 tahun serta tiga wanita berusia antara 60 hingga 66 tahun.

Katanya, lelaki berusia 64 tahun mengalami kecederaan di kepala, dada dan bahu, manakala seorang lagi lelaki berusia 71 tahun mengalami patah tangan dan kaki serta bengkak pada muka.

“Tiga mangsa wanita pula masing-masing mengalami kecederaan di dada, kepala dan pipi, selain patah kaki serta jari.

“Seramai 16 mangsa lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan pasukan bomba bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Nelson berkata, kesemua mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi yang turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berjaya dikawal pada jam 2.42 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian.