Sektor Korporat Perlu Bantu Kerajaan Basmi Kemiskinan – Dexter Lau

Sektor Korporat Perlu Bantu Kerajaan Basmi Kemiskinan – Dexter Lau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sektor korporat perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membantu kerajaan membasmi kemiskinan menerusi penyediaan peluang pekerjaan mampan bagi memastikan golongan sasar tidak kembali terjerumus dalam kemiskinan.

Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Group (KTC), Datuk Dexter Lau berkata, usaha kerajaan menyediakan bantuan kewangan, pendidikan dan latihan perlu disusuli sokongan sektor swasta bagi memastikan penerima bantuan mampu berdikari serta mengekalkan pekerjaan.

“Kerajaan memainkan peranan penting dalam memperkasakan rakyat, manakala sektor korporat perlu membantu mereka melangkah lebih jauh melalui peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.

“Jika penerima bantuan akhirnya kembali kepada keadaan asal, ia hanya akan meningkatkan kos kepada kerajaan, pembayar cukai dan sektor perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dexter berkata, KTC kini giat memperluaskan operasi perniagaan dengan sasaran perolehan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, selain merancang meningkatkan jumlah pekerja daripada 1,500 kepada 2,500 orang.

Katanya, syarikat itu turut berjaya meningkatkan penyertaan pekerja Bumiputera daripada 40 peratus kepada 70 peratus, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 60 peratus yang ditetapkan kira-kira lima hingga enam tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KTC mula mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam keseluruhan operasi syarikat sejak 1 Oktober lalu bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing pekerja.

Menurutnya, inisiatif itu turut merangkumi pendokumentasian pengalaman perniagaan syarikat selama 90 tahun serta pengetahuan tiga generasi bagi membantu pembangunan kemahiran tenaga kerja.

“Setiap individu perlu diberi peluang yang sama untuk bersaing tanpa mengira latar belakang, namun kejayaan tetap bergantung kepada usaha, sikap proaktif dan kesediaan untuk meningkatkan keupayaan diri,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama erat antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat amat penting bagi memastikan usaha pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.