Penanda Arah Kiblat Dipasang di Laluan Gunung Kinabalu, Mudahkan Ibadah Pendaki

Penanda Arah Kiblat Dipasang di Laluan Gunung Kinabalu, Mudahkan Ibadah Pendaki

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penanda arah kiblat yang disemak dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah ditempatkan di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah.

Inisiatif itu dilaksanakan bersempena misi pendakian Gunung Kinabalu yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi agama.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kenyataan di Facebook, baru-baru ini, memaklumkan bahawa Zulkifli bersama peserta pendakian berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu selepas mengharungi pelbagai cabaran sepanjang pendakian.

Menurut JAKIM, misi berkenaan bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental peserta, malah menjadi platform menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga agensi agama.

Selain pendakian, program itu turut diisi dengan sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada malim gunung di Kinabalu Park sebagai penghargaan terhadap jasa mereka membantu serta menjaga keselamatan pendaki.

JAKIM memaklumkan, program bersama komuniti di Kampung Mesilou, Kundasang turut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara agensi agama dengan masyarakat setempat.

Dalam kenyataan sama, JAKIM merakamkan penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, petugas, malim gunung dan komuniti Kampung Mesilou yang bekerjasama menjayakan keseluruhan program berkenaan.

JAKIM turut berharap hubungan erat dan semangat kebersamaan yang terjalin menerusi program itu dapat terus memperkukuh usaha dakwah serta khidmat kepada masyarakat.