Warga Asing Larikan Diri Lepas Bunuh Jiran Ditemui Dalam Semak 

Warga Asing Larikan Diri Lepas Bunuh Jiran Ditemui Dalam Semak 

0
SHARE

KENINGAU: Warga asing yang melarikan diri selepas membunuh jirannya di tepi jalan di Kampung Lingkudau dekat Taman Juta, sini, pada 19 September lalu ditemui dalam kawasan semak berhampiran sebuah kilang terbiar di Kampung Kauran pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai berkata, bertindak atas maklumat awam, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah memasuki kawasan berkenaan pada kira-kira jam 5 petang.

“Pencarian dilakukan namun dipercayai suspek telah melarikan diri ke kawasan kilang kira-kira 50 meter. Usaha mengesan diteruskan dan pada kira-kira jam 9 malam, pasukan serbuan berjaya mengesan serta menahan suspek yang bersembunyi di kawasan semak kira-kira 20 meter dari bangunan kilang terbiar tu,” katanya.

Abdul Razak Bin Amri, warga Filipina berusia 43 tahun beralamat di Kampung Lingkudau, Keningau, telah dihadapkan ke Majistret Keningau pada pagi tadi untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang telah diluluskan selama tujuh hari.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku membunuh Mohd Yusof Peyong dari Lingkudau, Keningau berusia 58 tahun atas alasan berang dengan mangsa yang membantu isterinya membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.

“Sebaik kejadian, suspek terus melarikan diri ke kawasan hutan di Jalan Tenom dan hanya keluar pada 15 Oktober lalu kerana kelaparan,” jelas Tampil.

Yampil berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.