PENAMPANG: Polis Daerah Penampang melalui Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menumpaskan kegiatan perjudian sabung ayam dalam Ops Dadu di Kampung Buit Hills, pada Ahad.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 40 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan, manakala beberapa individu lain sempat melarikan diri.
Polis turut merampas lapan ekor ayam hidup, peralatan dipercayai digunakan untuk sabung ayam serta wang tunai RM606.
Semakan mendapati semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing adalah negatif.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata IPD Penampang akan terus mempergiatkan penguatkuasaan.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam perjudian haram serta penganiayaan haiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.






