BEAUFORT, SABAH – Polis bergelut dengan DUA (2) pengedar dadah dalam satu percubaan melarikan diri kelmarin.
Serbuan ‘Ops Tapis’ pada 9 pagi itu telah menyasarkan sebuah rumah di Kampung Brunei, Membakut.
Kata Ketua Polis Daerah, DSP Yusoff Zaki Mat Yaacob, lima individu bertindak untuk terjun daripada tingkap dapur bagi mengelak ditangkap.
“Bagaimanapun, dua suspek berusia 23 dan 33 tahun berjaya ditahan anggota selepas berlakunya pergelutan…
“Pemeriksaan fizikal terhadap salah seorang suspek membawa kepada penemuan satu paket berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 12.36 gram,” katanya.
Pemeriksaan lanjut yang dibuat di rumah berkenaan turut menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
“Kedua-dua suspek dan dadah yang dirampas dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.
Sementara itu, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methapetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau juga berkenaan dadah.
“Usaha mengesan tiga lagi suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” kata Yusoff.





