KUDAT, SABAH – Sebanyak 50 buah tapak di seluruh Sabah telah dikenal pasti sebagai pusat pembinaan fasiliti Very Small Aperture Terminal (VSAT) ConnectMeNow bagi tahun ini.
Initiatif itu adalah di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat khususnya mereka dari kawasan terpencil dapat menerima pencapaian internet.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merasmikan program VSAT ConnectMeNow pagi tadi di mana beliau turut menyerahkan baucar bagi TUJUH (7) pemasangan VSAT ConnectMeNow kepada Pegawai Daerah Haji Bakri Haji Nanun.
Kampung-kampung yang terpilih bagi program berkenaan termasuk Kampung Andap, Kampung Popot, Kampung Bak Bak, Kampung Bingolon Laut, Kampung Gumandong, Kampung Rampai dan Hutan Simpan Loro.
VSAT adalah sebuah stesen satelit bumi berskala kecil yang mampu memancar dan menerima isyarat data, suara dan video menggunakan rangkaian komunikasi satelit.
Sebelum ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sabah yang juga agensi pelaksana program berkaitan sudah siap memasang LIMA (5) fasiliti VSAT sebagai langkah percubaan di Ranau, Tambunan, Pitas, Papar dan di Institut Latihan Teknologi dan Penyelidikan juga di Papar.
Pada tahun depan MOSTI akan memasang fasiliti VSAT pada 300 tapak yang dikenal pasti bagi melengkapkan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sementara itu pihak MCMC telah mengenal pasti sejumlah 138 tapak pemasangan VSAT di Sabah dan sedang berkerja rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memasang VSAT untuk 59 buah sekolah yang memerlukan pencapaian rangkaian internet.
Dalam program sama, Hajiji turut menandatangani plak program JENDELA sebagai tanda perasmian program tersebut di peringkat negeri.
“Program JENDELA diformulasasikan bagi memenuhi keperluan dan meningkatkan kualiti liputan jalur lebar Sabah pada masa yang sama mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar dan menyediakan akses kepada seluruh lapisan masyarakat…
“Infrastruktur komunikasi terutamanya rangkaian fiber diperlukan untuk menyokong agenda ekonomi digital dan membolehkan semua rakyat memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh teknologi dan inovasi terkini,” katanya.
Sabah telah diperuntukkan RM3.5 bilion untuk melaksanakan program JENDELA, yang diharapkan dapat meningkatkan penembusan internet 4G di negeri ini hingga 90 peratus pada tahun 2023.
Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 51 menara telekomunikasi telah dibangunkan sementara 483 lagi sedang dalam pembinaan.
Pada masa yang sama, sebanyak 1,729 menara komunikasi di Sabah telah ditingkatkan dari 3G ke 4G sementara 1,648 yang selebihnya masih dalam proses penambahbaikan.
Bagi Kudat sahaja, lapan menara telekomunikasi baru telah siap dan beroperasi di Kampung Kubatang, Kampung Lodung, Kampung Indarason Laut, Kampung Rondomon, Kampung Membatu, Kampung Inukiran, Kampung Panikuan dan Kampung Toporoi.
Ketua Menteri semasa lawatan kerjanya di Kudat turut dihadiri oleh Menteri Tugas Khas, Datuk Ariffin Arif, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin, dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmy Yahya serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.