132 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di LD, KK dan...

132 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen di LD, KK dan Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 132 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Sandakan, semalam.

Operasi terbabit melibatkan Ops Sapu dan Ops Kutip di Lahad Datu, Ops Mahir, Ops Selera serta Ops Gegar di Kota Kinabalu selain Ops Sapu di Sandakan.

Menurut kenyataan JIM Sabah pada Khamis, di Lahad Datu seramai 81 individu telah diperiksa dengan 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tangkapan di Lahad Datu membabitkan warga Filipina terdiri daripada 11 lelaki dewasa, 17 perempuan dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan.

Sementara itu di Kota Kinabalu, operasi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa 67 individu dengan tujuh warga asing ditahan.

Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa warga Filipina dan seorang perempuan dewasa warga Indonesia yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Di Sandakan pula, Ops Sapu memeriksa seramai 147 individu dan menahan 73 warga asing terdiri daripada 12 lelaki dewasa, 19 perempuan dewasa, 22 kanak-kanak lelaki serta 18 kanak-kanak perempuan warga Filipina.

Turut ditahan ialah seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia.

JIM Sabah berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.