KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun menyarankan Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) agar terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang idea, pandangan serta sokongan terhadap usaha pembangunan negeri.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, penglibatan aktif MDNS amat penting dalam membantu kerajaan negeri memperkukuhkan pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
“MDNS juga perlu lebih banyak terlibat dalam program mendekati masyarakat supaya dapat terus menyantuni rakyat serta memahami keperluan komuniti di peringkat akar umbi,” katanya ketika menerima kunjungan hormat rombongan MDNS di pejabatnya, pada Khamis.
Kunjungan hormat itu diketuai oleh Claudius Roman bersama beberapa ahli majlis lain.
Menurut Masidi, kunjungan berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah mampu memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan MDNS dalam pelbagai aspek pembangunan negeri.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kedua-dua pihak diyakini dapat membantu membawa lebih banyak manfaat serta kesejahteraan kepada masyarakat di Sabah.






