PAPAR: Pejabat Ahli Parlimen Papar tampil memberi amaran kepada orang ramai berhubung kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menyamar sebagai Personal Assistant (PA) atau wakil kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali bagi tujuan penipuan.
Menurut kenyataan Pejabat Ahli Parlimen Papar di Facebook pada Khamis, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej, panggilan atau permintaan mencurigakan terutama yang melibatkan transaksi wang, bantuan, sumbangan atau urusan peribadi.
Kenyataan itu menegaskan bahawa segala urusan rasmi berkaitan hanya dilakukan secara bertulis melalui surat-menyurat rasmi Pejabat Parlimen Papar atau Pejabat Menteri KPDN serta melalui pegawai yang dipertanggungjawabkan sahaja.
Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pegawai Perhubungan Pejabat Parlimen Papar, Abdul Rahim Aliudin di Balai Polis Papar pada Khamis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap pihak terlibat.
Turut hadir ketika laporan polis dibuat ialah Setiausaha Sulit Datuk Armizan, Datuk Roslie Ibrahim, selain Mohd Shahyusri Mohidin dan Aminudin Sergio.
Sehubungan itu, orang ramai yang menerima mesej atau panggilan meragukan diminta supaya mengabaikannya serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
Pejabat Ahli Parlimen Papar turut memohon kerjasama semua pihak untuk menyebarkan peringatan berkenaan agar lebih ramai masyarakat tidak menjadi mangsa penipuan scam menggunakan nama pemimpin atau pejabat rasmi.






