Penagih Dadah Gigit Jari Anggota Polis Sehingga Putus Sebahagian

Penagih Dadah Gigit Jari Anggota Polis Sehingga Putus Sebahagian

0
SHARE
Seorang anggota polis putus sebahagian jarinya selepas digigit lelaki di bawah pengaruh dadah di hadapan Balai Polis Sungai Besi, Isnin lepas...(Kredit Foto: PDRM)

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis putus sebahagian jarinya apabila digigit lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah di hadapan pos pengawal Balai Polis Sungai Besi di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata dalam kejadian pada 10.15 malam itu suspek berusia 34 tahun datang ke balai polis berkenaan dan menjerit mahu menyimbah asid.

“Suspek kemudian bertindak agresif menyimbah air ke badan dan muka seorang daripada anggota polis yang bertugas di pos berkenaan sebelum meluru masuk ke dalam balai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata lelaki terbabit turut membaling tin minuman sehingga dinding kaca pos berkenaan pecah.

Menurutnya, anggota polis berpangkat Koperal berusia 40 tahun itu bersama dua lagi anggota cuba menahan suspek yang kemudian bertindak menggigit jari manis di tangan kanan anggota polis tersebut sehingga putus di bahagian hujung.

Zam Halim berkata suspek kemudian berjaya ditahan dan ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, suspek yang direman sehingga Jumaat ini pernah mendapatkan rawatan psikatrik pada 2020 namun tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

– BERNAMA