KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah pada dasarnya hanya memberikan bantuan kepada rakyat yang berstatus warganegara sahaja, demikian kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau merujuk kepada satu laporan berita bertajuk “Semakin Ramai PTI Turut Pasang Bendera Putih” terbitan sebuah akhbar tempatan pada Khamis.
Katanya susulan itu, Jabatan Imigresen Sabah (JIM) telah melakukan pemantauan di kawasan yang dimaksudkan.
“Mereka mendapati masih terdapat sejumlah tujuh (7) bendera bewarna putih yang diikat bersama papan dan keratan kotak tertera nombor telefon serta nama pemohon bantuan makanan daripada orang ramai…
“Tindakan telah diambil dengan menghubungi nombor telefon yang berkenaan, yang mendapati pemilik nombor telefon tersebut terdiri daripada tujuh (7) keluarga dari kalangan wanita warganegara Filipina berusia dalam lingkungan 50 tahun.
“Mereka dianggarkan seramai enam hingga ke sembilan orang serta kanak-kanak berumur lingkungan satu tahun dalam setiap rumah yang disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah menetap di kawasan setinggan Bukit Bantayan Kiansom, Inanam,” kata beliau.
Siasatan melalui perbualan telefon juga mendapati mereka tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi berikutan sumber pendapatan adalah bergantung sepenuhnya dengan suami yang kini berada di daerah Kota Belud yang difahamkankan bekerja.
Sekatan perjalanan antara daerah dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini menyebabkan halangan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sekaligus menyebabkan berlakukanya keadaan sedemikian,
“Namun sekiranya ada badan-badan NGO dan orang awam memberi bantuan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ini, pihak kerajaan negeri tidak mempunyai halangan,” jelas Masidi dalam sebuah kenyataan malam tadi.