PAPAR: Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di tepi jalan dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kampung Purak, di sini, pada petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.21 petang itu, sebuah lori tiga tan milik sebuah pasar raya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas, menyebabkan pemandunya tersepit di dalam kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, sepasukan lapan anggota dari BBP Papar dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 dan tiba di tempat kejadian pada jam 6.35 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki berusia 38 tahun tersepit di dalam lori. Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan warganegara Malaysia berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Bomba (EMRS).
“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.






